27.7.08

terkini-bubar parti ke muktamar

Cadangan bubar UMNO dan Pas akan dibawa ke Muktamar Pas - Nik Aziz
27/07/2008 3:35pm


KOTA BHARU 27 Julai — Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan beliau supaya Pas dan UMNO dibubarkan bagi membentuk satu parti baru akan dibawa ke Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos depan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan Pas dari seluruh negara berhubung cadangan itu.

“Kita akan bawa usul ini ke muktamar dan saya juga akan menjawab sebarang persoalan berkaitan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Indusri Halal Nasional, di sini, hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya kedua-dua parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata, dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.- Bernama

No comments: