25.6.08

KE MANA HALA TUJU MALAYSIA

Malaysia hilang arah,bukan negara tapi sesetengah pentadbir negara yang hilang arah .Rakyat merasa loya dengan isu sekarang,tiada tindakan proaktif tapi yang ada menghabiskan wang 1 juta untuk emas olimpik!Entah mengapa terasa tertipu dengan "title" negara pengeluar minyak,akhirnya kita juga terasa sempit dada minyak naik dan Petronas akan 'out" lebih kurang beberapa tahun lagi.Wang untuk belanja harian makin banyak sehingga terasa asing jika dulu negara pengeluar beras tapi hari ini kita terpaksa bayar harga tinggi untuk makan beras.Mungkin ada di antara rakyat yang tidak mampu membeli beras kerana tidak cukup wang!Mengapa kita begini?Mungkin sesetengah pemimpin kita tiada perancangan rapi tapi berada di pandang golf sambil "usya' projek.Mengapa kita membuat perancangan agrotani dengan teliti.Bukankah pemimpin itu perlu membuat"invision" ke depan?Aku tidak tahu hendak kata macamana..mungkin betul kata intektual islam'...semuanya sebab kekayaan tidak diagihkan secara adil!

HADIAH 1 JUTA UNTUK EMAS OLIMPIK...ISH TOLOLNYA BERFIKIR

Aku tidak tahulah macamana nak bagitau bahawa hadiah emas olimpik satu juta,aku malu dengan singkatnya mereka berfikir.Di saat kemelut beban rakyat bertambah,mahasiswa jadi pemiutang PTPTN hadia macamtu ditawarkan.Satu juta besar tu,ia mampu menampung pembiayaan banyak kanak-kanak miskin yang berada di merata di senanjung dan juga sabah&sarawak.Hadiah untuk atlet bukan tidak boleh tapi perlulah kena dengan masa dan keadaan belanjawan semasa.

24.6.08

PENINGGALAN YANG SUKAR DIGANTI

Selasa 24 Jun 2008 | 19 Jamadil Akhir 1429 Hijrah
dari harakah
Setelah enam tahun, kehilangan Ustaz Fadzil masih terasa
Muna Izzah Fadzil
Mon | Jun 23, 08 | 6:58:50 pm MYT
Tanggal 23 Jun datang lagi. Sudah 6 tahun tarikh sedih ini bermula dengan pemergian dan kehilangan seorang baba dan suami kepada anak-anak serta isteri yang tercinta ke rahmatullah.
Dan kepada penyokong-penyokong serta pendokong-pendokong parti islam dalam negara jua luar negara juga merasai kehilangan tokoh ilmuan dan dan pemimpin sebuah jamaah yang mendokong perjuangan Islam ini.
Al-Marhum Fadzil bin Mohd Noor, sekiranya masih hidup, telah berusia 71 tahun pada 13 Mac yang lepas.
Namun dalam usianya 65 tahun, beliau meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman yang menyerangnya, susulan daripada pembedahan koronari di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi.
Sejak kecil mengenali kematangan hidup, dan kematangan itulah yang dibawa hingga kini walaupun jasadnya sudah tiada.
Oh ya, ada sesuatu fakta yang perlu saya perbetulkan di sini iaitu selalu mereka yang menulis mengenai baba,bahawa beliau sejak kecil adalah anak yatim. Sebenarnya tidak.
Ayahnya meninggal dalam than 1972 dan ibunya meninggal dalam tahun 1997. Dan juga ketika hayatnya beliau tinggal di Alor Setar dan bukannya di Muassasah. Hanya tempat persemadian beliau sahaja di Muassasah seperti yang beliau wasiatkan.
Bermimpikan 'Baba'
Terima kasih. Semua yang mengenalinya sudah maklum bahawa ketika hayatnya beliau sangat komited dengan apa yang diperjuangkan dan dilakukan dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Perwatakannya yang kadang-kadang diam tetapi sangat prihatin dan kadang-kadang banyak bercakap, menjadi ingatan setiap yang mengenalinya. Bagi seorang anak, mewakili adik-adik, serta menantu juga cucu, dan terutamanya mama saya, tidak pernah lekang ingatan kami terhadap beliau.
Mimpi mama sering dikunjugi baba dan kami akan bermimpi baba sekiranya kami punya masalah atau terlalu rindukan beliau. Itu sahaja pengubat rindu kami.
Pemimpin datang dan pergi, namun seorang baba pasti dan tidak akan ada penggantinya. Berbalik kepada pandangan pendokong Islam, pemikiran dan kepimpinannya sangat dirasai.
Banyak perkara yang dilakukan, dengan kuasa Allah telah membuahkan hasil berkat usaha beliau dan sahabat-sahabat pimpinan yang lain dan semua pihak.
Seringkali saya ditegur kenalan-kenalan baba yang menyatakan mereka terasa kehilangan beliau. Saya hanya mampu tersenyum dan menghargai semua itu. Tetapi kadang-kadang terasa kehilangan sahaja tidak mencukupi.
Mengkagumi pemikiran beliau sahaja juga tidak mencukupi. Saya bukan yang layak menyatakan perkara ini, tetapi saya melihat, pemikiran beliau harus dilebar dan diperkembangkan lagi oleh kepimpinan yang ada.
Kepimpinan yang ada kini bagi saya sudah cukup dibanggakan, dan hebat dalam memimpin organisasi. Wajah-wajah muda beriringan dengan mereka yang sudah berpengalaman akan menjadikan Parti Islam Semalaysia makin dapat diterima kawan dan lawan.
"Pengorbanan perasaan yang paling sukar dilakukan,"itulah ungkapan Al-Marhum yang sering diluahkan.
Sebelum ini saya tidak begitu menghayati luahan hati tersebut, namun apabila saya berada dalam Nisa, Puan Mastura sering menyatakan ungkapan ini dalam perjumpaan kami.
Setelah mengharungi susah payah di dalam Nisa, saya makin mengerti ungkapan baba ini. Beliau sebenarnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya dengan melontarkan ungkapan tersebut.
Memang benar pengorbanan harta benda, wang ringgit, tenaga serta masa bukan sesuatu yang sukar untuk diberi, namun perasaan amatlah sukar untuk dikorbankan.
Kini saya makin mengerti, kenapa baba diam apabila orang mempertikaikan keputusannya dan kenapa beliau juga tersenyum apabila orang tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan.
Jarang sekali beliau membebel di rumah bercerita mengenai masalah dalaman parti, kerana baba perlukan hiburan di rumah iaitu kasih sayang dan bebelan mama dan anak-anak. Itu yang membahagiakannya.
Beliau tidak perlukan perbahasan politik di rumah, kerana sakit yang dirasai dalam hati, dipendam dan dikorbankan ego serorang pemimpin. Kami mungkin tidak mengetahui bagaimana beliau berhadapan dengan suasana politik yang sebenar ketika itu dan mungkin anda semua yang lain lebih mengetahuinya.
Lempar dengan batu,dibalas bunga
Namun kami memerhati siapa sahaja yang ber'deal dengannya.Kami memerhati sikap orang terhadapnya, dan bagaimana reaksi beliau terhadap segala sikap itu. Dan di situ kami belajar banyak perkara.
Saya tidak pasti apa yang orang lain belajar daripada pemikiran beliau tetapi saya belajar ungkapan yang saya sebutkan tadi. Pengorbanan perasaan dalam jamaah sangat sukar dilakukan.
Ada kalanya kita memberi bunga, kita dilemparkan dengan batu. Dan ketika itulah , adakah kita akan bertindak dengan membaling batu juga? Kerana itulah terdengar pulak ungkapan oleh YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekiranya orang lempar batu pada kita, kita balas dengan bunga. Dan ketika itulah pengorbanan perasaan dilakukan. Adakah anda mengerti ranataian ungkapan-ungkapan ini?
Kematangan dalam kepimpinan politik,keterbukaan, kasih sayang, pandai menghargai adalah antara watak-watak beliau yang saya secara peribadi mengakagumi beliau.
Kepetahan berpidato adalah pelengkap dirinya yang dimanfaatkan sepenuhnya dalam menjalani tugasannya sebagai Ketua Pembangkang dan ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen.Kini saya merindui kepetahan itu di kalangan sahabat-sahabat beliau di dalam Parlimen.
Sudah pasti al-marhum berasa gembira dengan kemenangan PAS dan rakan kongsi PAS yang lain, dan sekiranya itu, beliau juga dan sudah pastinya pemimpin terdahulu tidak mahu kita semua mempersiakan peluang yang sudah diberi Allah.
Pemikiran beliau dan mereka yang telah pergi, mestilah digarap bersama dengan pemikiran yang ada kini supaya tampak parti yang didokong ini maju dari segi kematangan politik serta akhlaq yang baik. Ketika senang, ujiannya pasti lain dan lebih menguji diri.
Saya sebagai anak pasti merasa bangga dengan beliau tapi saya lebih merasa bangga sekiranya pemikiran beliau bukan sahaja diwacanakan TETAPI diaplikasikan bersama untuk maju ke depan. Terima kasih kepada anda semua yang menjadi penyambung warisan kepimpinan dan teruskanlah usaha-usaha yang baik.
Kami semua mungkin tidak mampu menjadi seperti anda yang berada secara langung dalam arena politik kerana jawatan dan kepimpinan bukannya warisan turun temurun tapi percayalah darah yang mengalir di dalam tubuh al-marhum ada dalam diri kami, dan secebis kata baba, kebaikan dan dakwah boleh dilakukan dalam setiap perkara.
Tidak terhad kepada politik sahaja, tapi akedemik, kekeluargaan dan apa jua yang bidang yang diceburi.Buat yang terbaik dan yang termampu. Sudah pastinya kami bersama anda semua, insya-Allah, dan pesanan itu yang dipegang sehingga kini.
Terima kasih kepada En Rashidi yang meminta dituliskan sesuatu pada hari ini untuk disiarkan di Harakah.Dan kepada Dato' Kamarudin Jaafar dan Pimpinan PAS yang lain, serta sabahat baik baba, Pak Cik Ismail Mina, sekalung penghargaan dan terima kasih kerana sudi untuk menganjurkan Majlis Tahlil beliau walau tarikh terpaksa dienjak sedikit.
Dan ucapan terima kasih khusus mewakili mama saya yang kini berada di Mesir dan kami sekeluarga untuk Pak Cik Latif, bekas peneman Al-Marhum yang ditugaskan membawa kereta baba ketika hayatnya, yang hingga kini tidak pernah lupakan kami semua dan tidak pernah berhenti bertanya khabar kepada kami. Itu sudah cukup membahagiakan kami.
Dan kami mengucapkan terima kasih di atas doa dan ingatan semua anda di luar sana , para pencinta Islam, para penyokong, para sabahat dan sesiapa sahaja terhadap beliau. Tidak terbalas jasa anda semua terhadap semua ingatan itu. Permohonan maaf jua dihulurkan sekiranya ada kesalahan yang dilakukan ketika hayatnya.
Dan kepada baba, biar bertahun lagi hidup kami di dunia ini, dirimu tak pernah kami lupakan dan setiap detik, baba ada di dalam jiwa kami dan pasti kami berdoa kita dapat berkumpul bersama seperti dahulu untuk berjumpa Allah di akhirat sana.Al-FATIHAH.
* Muna Izzah Fadzil adalah anak perempuan almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. _

22.6.08

MUHASABAH UNTUK PAS DARI UTUSAN MALAYSIA

RENCANA utusan malaysia 22 Jun 2008 / 17 Jamadil Akhir 1429

Pas berubah atau keliru?
Oleh Zulkiflee Bakar

Pemimpin dan ahli-ahli Pas yang akan mengadakan Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos ini sudah tentulah berbangga.
Ini kerana muktamar kali ini akan menyaksikan lebih ramai pemimpin-pemimpin Pas bergelar Yang Berhormat (YB) akan hadir.
Pas kini mempunyai 83 Ahli Dewan Undangan Negeri dan 23 Anggota Parlimen.
Selain itu, jika sebelum ini hanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sahaja akan hadir sebagai Menteri Besar, tetapi kali ini beliau akan diiringi oleh dua orang lagi bertaraf Menteri Besar iaitu Azizan Abdul Razak (Kedah) dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Perak).
Namun begitu dalam keghairahan mereka menyambut kemenangan di luar jangkaan pada pilihan raya umum lalu, ahli-ahli Pas juga harus memahami bahawa prinsip perjuangan mereka semakin terhakis.
Pas kini mahu tidak mahu sudah dilihat sanggup mengorbankan segala-galanya demi merebut kekuasaan politik dan lebih buruk lagi sanggup duduk semeja dengan pihak yang sebelum ini dianggap kalau berkawan boleh menjadi kafir.
Sememangnya, penulis menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat memilih pemimpin Pas menjadi YB dan mengundi parti itu untuk memerintah Kedah, menjadi Menteri Besar di Perak serta terus berkuasa di Kelantan.
Malah penulis juga menghormati keputusan rakyat menerima kesepakatan pemimpin-pemimpin Pas untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat bagi memerintah Selangor.
Tetapi apa yang hendak diperingatkan ialah bagaimana Pas kini semakin lari daripada prinsip perjuangannya.
Dalam satu surat yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dalam ruangan Forum pada Jumaat lalu, seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Pa'Sheikh menggariskan apa yang disifatkan oleh beliau, Pas sudah berubah.
Antara hujahnya:
l Pas pernah menganggap suara wanita adalah aurat sehingga Kelantan tidak menghantar wakil bagi majlis tilawah tetapi sekarang ketua pembangkang di Parlimen adalah seorang wanita.
l Sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu fatwa Pas - Wanita tidak boleh menjadi calon tetapi mengikut keadaan fatwa berubah dan ia dibolehkan. Yang anehnya ada kawasan pilihan raya, yang mana calon Pas seorang lelaki dan calon UMNO seorang wanita. Semasa kempen pilihan raya di kawasan tersebut, Pas berkempen tidak boleh mengundi calon wanita. Sesiapa mengundi calon wanita adalah dayus kerana wanita tidak boleh menjadi pemimpin.
l UMNO bekerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain (parti orang-orang kafir) menurut Pas adalah haram. Sekarang Pas berada dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP).
Inilah antara hujah-hujah beliau bagi menunjukkan bagaimana Pas telah berubah dan mengikut keadaan semasa.
Dalam soal ini, sudah tentulah pemimpin dan ahli Pas yang taksub akan tetap menyokong langkah saf kepimpinan kononnya atas dasar demi menegakkan kebenaran dan keadilan di Malaysia.
ResahTetapi kita juga yakin ada di kalangan ahli-ahli Pas yang semakin merasa resah dengan sikap tidak konsisten parti itu dalam usaha untuk memperoleh kuasa politik.
Malah sesetengah orang Melayu atas pagar yang menyokong Pas dalam pilihan raya umum lalu juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Pas yang ternyata sanggup mengamalkan sikap matlamat menghalalkan cara bagi mencapai tujuan politik.
Sebelum ini kita harus akui, Pas dilihat parti alternatif kepada orang Melayu, Pas sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam, ertinya yang haram tetap haram, yang halal tetap halal.
Namun ternyata akibat keghairahan untuk bersama-sama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Rakyat dan ditambah pula kejayaan di luar dugaan dalam pilihan raya, Pas sudah melupakan asas-asas perjuangannya.
Mungkin bagi Pas sekarang:
l Suara wanita bukanlah lagi aurat, justeru mereka menerima Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang dan meletakkan calon wanita bertanding dalam pilihan raya.
l Berkawan dengan parti bukan Islam tidak lagi kafir atas sebab itu mereka sanggup membantu berada dalam satu kerajaan dengan DAP di Perak dan Selangor. Biarpun hakikatnya di Perak, Pas tidak ubah hanya menjadi boneka kepada DAP.
l Tidak apa menyokong dasar yang salah demi mempertahankan kekuasaan atas sebab itulah mereka menyokong projek ternakan babi di Selangor.
Semua tindakan ini dengan jelas membuktikan Pas sudah berubah. Pas bukanlah lagi sebuah parti yang sentiasa istiqomah dalam perjuangannya.
Justeru muktamar Pas kali ini diharapkan akan menjadi landasan kepada ahli-ahli Pas yang masih sayangkan parti itu untuk menegur kealpaan pemimpin- pemimpin mereka.
Tidak salah untuk menegur perkara yang betul kerana Rasulullah SAW bersabda, katalah benar, sekalipun ia pahit.
Oleh itu ahli-ahli Pas harus bermuhasabah dan mengkaji keterlanjuran yang semakin banyak dilakukan oleh pemimpin-pemimpin atasan mereka.
Teguran yang dibuat bukanlah bertujuan untuk melemah atau menjatuhkan Pas tetapi sekadar peringatan supaya Pas tidak terus tenggelam dengan keghairahan untuk merebut kuasa politik sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan kepada PKR dan DAP.
Lebih daripada itu untuk kembali kepada asas perjuangannya seperti mana yang disiarkan suara rasmi Pas, Suara Islam bertarikh 17 Mac 1957 yang menyatakan:
"Tertubuhnya Pas adalah semata-mata kerana umat Islam di negeri ini ingin mewujudkan dan mengisi perjuangannya dengan apa yang menjadi keyakinan dan pandangan hidupnya sebagai umat Islam dan sebagai hamba Allah yang patuh kepada ajaran tuhannya.''
Justeru dalam melakukan apa juga keputusan dan pendirian, ahli-ahli Pas harus mengkaji kata saudara Amaludin Darus dalam buku beliau bertajuk, Kenapa saya tinggalkan Pas terbitan tahun 1977.
Antara lain beliau berkata, "Saya tidak mahu menyertai satu kumpulan yang bercakap tetapi tidak berbuat. Menegur orang lain, tetapi memejam mata kepada kesilapan-kesilapan golongan sendiri.''
Tetapi dalam keadaan sekarang ahli- ahli Pas masih mempunyai kesempatan untuk memperbetulkan keadaan. Apa yang perlu mereka lakukan hanyalah menyatakan kebenaran kerana Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya berkata benar itu menunjukkan ke arah kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan jalan ke syurga. Sesungguhnya seseorang itu nescayalah berkata benar sehingga di sisi Allah dicatat sebagai ahli berkata benar.
Persoalannya, mampukah ahli-ahli Pas melakukannya? Mungkin sekali lagi pandangan dalam tulisan ini akan dianggap untuk memecah-belah Pas kerana maklumlah Pas kini dilihat semakin kuat.
BermaharajalelaPenulis tidak menafikan fakta ini bahawa Pas semakin mendapat sambutan tetapi dalam masa yang sama ahli Pas tidak boleh membiarkan kesilapan pemimpin-pemimpin mereka bermaharajalela di depan mata.
Orang Melayu juga tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Dewan Ulama Pas yang sebelum pilihan raya lalu begitu lantang menegur kesilapan yang dilakukan oleh Pas.
Apakah Dewan Ulama juga sudah memasuki 'zon selesa' berikutan kejayaan Pas dalam pilihan raya umum lalu?
Bagaimana pula dengan Dewan Pemuda Pas? Kenapa terus berdiam diri biarpun mereka tahu ada beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin utama mereka telah melanggar prinsip perjuangan atau fatwa parti itu?
Apakah dewan itu sudah tidak berani lagi bersuara kerana bimbang dianggap mempunyai semangat 'pepsi cola'?
Namun persoalannya, apakah ketika ini Pas masih 'pening' akibat arus tsunami politik yang berlaku sehingga memungkinkan mereka melihat apa sahaja yang boleh menguntungkan politik mereka harus diterima?
Oleh itu bagi mengelakkan pemimpin-pemimpin Pas terus alpa sehingga mengelirukan orang Melayu dan ahli Pas khasnya, mereka perlu diperingatkan semula mengenai matlamat perjuangan parti.
Pas seharusnya tidak terlalu ghairah untuk mengejar kuasa politik sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja.
Jika ahli-ahli Pas, selepas 8 Mac lalu begitu lantang mengkritik UMNO dalam pelbagai perkara, mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menegur kepimpinan Pas.
Ahli-ahli Pas tidak boleh selama-lamanya melihat sahaja satu demi satu tindak tanduk yang bercanggah dengan prinsip perjuangan parti itu dilanggar oleh pemimpin-pemimpin mereka.

PENULIS MEMETIK DARI UTUSAN..........ADA ISI YANG BOLEH DIFIKIR