11.7.08

PAS DIMUHASABAH LAGI....OLEH UTUSAN

RENCANA
Mahu ke mana Pas?

Oleh Hamzah Sidek



Kenderaan penyokong parti pembangkang mengibarkan bendera DAP, Pas dan PKR. Pakatan ketiga-tiga parti itu dibentuk hanya selepas kejayaan mengejut dalam pilihan raya umum pada 8 Mac lalu.
- Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



ADA tanda-tanda bahawa Pas sekarang berada dalam keadaan terpaksa menilai semula hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam konteks muafakat Pakatan Rakyat.

Mari kita lihat senario berikut.

1. Awal Jun 2008: Apabila persembahan penyanyi Ella dan Mas Idayu diumumkan bakal menyerikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor, Pemuda Pas Selangor pada bulan lalu telah membantah dengan hujah bahawa penyanyi-penyanyi itu berpakaian tidak senonoh, tidak sejajar dengan Islam.

Sultan Selangor sendiri menjawab bahawa kritikan Pemuda Pas Selangor itu remeh dan tidak perlu. PKR yang menunjangi kerajaan Selangor tidak bersuara. Akhirnya persembahan Ella dan Mas Idayu diteruskan.

2. Awal Julai: Apabila jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Tom Cahill mengeluarkan kenyataan yang membayangkan bahawa Washington melihat kes aduan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan sebagai kes beragenda politik, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub turut mengkritik dan meminta AS tidak campur tangan dalam hal-ehwal Malaysia.

Suara mereka senada dengan suara beberapa pemimpin UMNO, termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

3. Awal Julai: Nik Aziz bersetuju dengan cadangan Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin supaya Anwar Ibrahim bersumpah dengan Quran (mubahalah) untuk membuktikan beliau tidak melakukan liwat sebagaimana yang dilaporkan kepada polis. Ramai yang melihat cadangan ini sebagai tanda bahawa Nik Aziz dan Dr. Asri kurang percaya dengan penafian Anwar.

Kemudian Nik Aziz telah menambah kenyataan dengan mengutarakan supaya mubahalah itu diadakan selepas selesai proses undang-undang kes berkenaan. Barangkali Nik Aziz tidak mahu mubahalah itu mengganggu proses undang-undang.

4. Protes Sejuta Rakyat pada 6 Julai: Sebelum perhimpunan ini diadakan, Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mengancam untuk memboikot kerana persembahan pentas (termasuk oleh Blues Gang) turut menjadi acara. Bagaimanapun, persembahan pentas tetap diadakan di perhimpunan yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya itu.

Tanpa diduga berlaku persembahan 'Jilat-jilat jubur korporat' oleh Alak, penyanyi lelaki kumpulan Carburetor Dung. Sebilangan peserta perhimpunan marah dan membaling botol. Media memberikan laporan besar kepada insiden ini. Pengurus persembahan pentas itu ialah Hishamuddin Rais (rakan karib Anwar sejak zaman demonstrasi di unversiti).

Ekoran insiden itu, boleh dikatakan seluruh ahli Pas daripada pucuk pimpinan hinggalah ke akar umbi, mengecam pihak penganjur. Perhimpunan itu dianggap gagal kerana bukan sahaja dicemari oleh insiden 'jilat jubur' tapi juga tidak memberi fokus kepada tujuan asal ia diadakan iaitu untuk membantah kenaikan harga minyak. Sebaliknya ia menjadi medan untuk marah-marah kepada kerajaan kerana 'kes liwat Anwar.'

ImejPas adalah sebuah parti yang berpendirian keras selama ini dengan imej keislamannya. Apabila ia bermuafakat dengan PKR dan DAP untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 2008 atas nama Pakatan Rakyat, banyak orang melihat bahawa Pas telah mengorbankan prinsip perjuangannya untuk menegakkan sebuah negara Islam. Orang bertanya, bagaimana mungkin Pas mahu menegakkan kerajaan Islam sedangkan DAP bermatian-matian menentangnya.

Pakatan Pas dengan DAP dan PKR dilihat sebagai tidak lebih daripada marriage of convenience (perkahwinan mutaah) yang tidak akan kekal. Perkahwinan itu disimpulkan hanya atas tujuan untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, Pakatan Rakyat hanya berjaya menghalang BN daripada memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan menawan lima negeri.

Di Perak, Pas berjaya menampilkan orangnya untuk menjadi Menteri Besar walaupun DAP yang memegang lebih banyak kerusi. Dikatakan kononnya wujud satu perjanjian yang dimomokkan sebagai 'Perjanjian Pangkor II' yang dimeterai oleh Pas dan DAP di Pulau Pangkor bagi menetapkan syarat-syarat perkongsian kuasa mentadbir negeri Perak. Orang Pas menjadi MB tetapi segala keputusan dan dasar mestilah dengan restu DAP.

Satu dasar baru yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak ialah pemberian hak milik selama 999 tahun kepada penduduk kampung-kampung baru yang dihuni hanya oleh orang Cina. Keputusan ini sangat mendukacitakan orang Melayu di negeri itu kerana tanah-tanah yang terlibat adalah tanah di kawasan bandar dan pinggir bandar yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Memberikan hak milik 999 tahun adalah sama sahaja dengan memberikan hak milik kekal. Sedangkan masih ramai orang Melayu yang menduduki tanah TOL (tumpang sementara). Di kawasan bandar, boleh dibilang tanah kekal milik Melayu.

Orang Melayu khususnya di Perak sekarang melihat Pas hanya menjadi boneka DAP. Menariknya apabila beberapa pemimpin Pemuda Pas bercakap tentang pentadbiran Islam, pemimpin-pemimpin DAP terutama Karpal Singh telah menyerang mereka habisan-habisan.

Dalam jangka panjang, kekalutan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan menghakiskan kepercayaan orang Melayu terhadap Pas. Apakah Pas tidak menyedari hakikat ini?

Pas mahu menegakkan kerajaan Islam, tapi DAP bermati-matian menentang dan PKR pula mempunyai budaya dan agenda tersendiri.

Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat yang akhirnya hanya berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000 orang penyokong fanatik Pakatan Rakyat (sebilangan besar adalah ahli-ahli Pas) menyerlahkan lagi budaya dan agenda politik PKR pimpinan Anwar.

Persembahan 'jilat jubur korporat' adalah sebahagian daripada budaya PKR yang berpendirian sangat liberal dalam soal hiburan. UMNO yang Pas tuduh sebagai parti sekular pun tidak tergamak untuk menyelitkan persembahan seumpama itu dalam acara-acara yang diadakannya. Betapa Hishamuddin yang merupakan rakan karib Anwar sanggup menjemput kumpulan Carburetor Dung, menunjukkan begitulah sifat orang PKR.

Barangkali Pas mulai terasa menyesal dan malu kerana menjalin hubungan dengan orang semacam ini. Maka sebab itulah Pas kemudian menghentam Protes Sejuta Rakyat. Secara tidak langsung hentaman mereka itu ditujukan kepada PKR dan Anwar.

Betapa orang Pas yang kehadiran mereka di perhimpunan Stadium Kelana Jaya itu tampak paling ramai juga menyedari kumpulan Hindraf (Badan Bertindak Hak-Hak Hindu) telah menjadikan Protes Sejuta Rakyat sebagai medan untuk mempromosi perjuangan mereka.

Kehadiran Hindraf dengan membawa pelbagai pemidang, bendera Hindraf dan cukup dengan paluan gendang mereka, memperlihatkan betapa mereka yang memperoleh lebih banyak laba politik daripada perhimpunan itu berbanding Pas.

Tidakkah juga sangat ganjil bagi sebuah kumpulan yang mahu menegakkan Islam berada dalam saf yang sama dengan kumpulan penegak agama Hindu dan peminat muzik underground yang ketawa mendengar lagu Negaraku tapi menggemari lagu 'Jilat jubur korporat.'

Inilah antara pertanyaan-pertanyaan muhasabah diri yang para pemimpin Pas wajib jawab. Cubalah berterus terang bahawa titik persamaan antara Pas dengan DAP, PKR dan Hindraf adalah ibarat bumi dengan langit. Malah jika kita halusi matlamat dan sejarah perjuangannya, Pas mempunyai lebih banyak persamaan dengan UMNO. Bukan dengan PKR, apatah lagi DAP dan Hindraf.

Mahu ke mana Pas?

9.7.08

ANWAR &NAJIB PERLU BERSIHKAN NAMA






Politik negara berada diambang "maut"kerana banyak label baru diberikan kepada kepimpinan negara.Anwar juga Najib yang dibedil bertalu-talu dalam akhbar dan nama mereka laris dibual di kedai kopi dalam negara dan juga diluar negara.Majalah TIMES juga melariskan isu ini sebagai modal yang melariskan jualan.Peranan Mufti juga Tok guru Nik Aziz juga kerap diambil kira oleh media perdana.Anwar perlu bersumpah serta Najib juga begitu.Langkah ini untuk mengelak fitnah terhadap nama dan keturunan mereka.Kita tahu dakwaan liwat dan membunuh tidak bermoral tapi yang dituduh perlu dibuktikan dalam masyarakat melalui mahkamah jika tidak pun bermubahalah atau bersumpah untuk bersihkan nama masing-masing.Marilah ajak rakyat keluar ke satu tempat keramat untuk melihat kejujuran hati mereka.Kita lihat siapa berani dan benar.Ini semua untuk agama kita dan juga negara kita.Jangan kita punah kerana fitnah percuma.